Tuesday, 6 March 2018

MALULAH UNTUK TERUS MEMINTA DISEMBUHKAN, DIPANJANG UMUR, DITAMBAH REZEKI.....

Dipetik dari tulisan FB,
Abd Ghani Haron


Suatu petang kakak saya yang menziarahi anak saya yang menderita bone cancer dan saya pula rosak buah pinggang memeluk anak lelaki saya dalam tangisan lalu menyebut, "Mintalah doa, moga disembuhkan."  Saya bingkas bangun meninggalkannya dalam esakan tangis yg bertali arus. Saya teringat kisah nabi Ayub yang diuji pelbagai perkara termasuk penyakitnya yang ada riwayat mengatakan hingga 18 tahun. Pada suatu hari Siti Rahmah, isteri nabi Ayub berkata kepada Nabi Ayyub: “Engkau adalah seorang Nabi yang mulia terhadap Tuhanmu, seandainya engkau berdoa kepada Allah swt supaya Dia (Allah) menyembuhkanmu?” Kata Nabi Ayyub: “Sesungguhnya aku merasa malu kepada Allah swt, untuk meminta kepadaNya sebab waktu cubaanNya belumlah memadai dibandingkan masa senangku.”

Mari kita merenung sedikit iktibar dari kata-kata nabi Ayub ini, yang merasa malu meminta Allah mengangkat ujian kesusahannya kerana masa senang yang telah diberi lebih lama dari itu. Lihatlah pada diri kita, sedikit diuji dengan sakit, bertali arus berdoa minta disembuhkan, sekali diuji kepayahan ,meronta bagai pelanduk terkena jerat minta dilepaskan, berendam air mata melahirkan kesedihan. Hakikatnya jika Allah beri ujian, tentu Allah ada tujuan, ada masa, ada tahap kepayahannya, bukanlah semudah diberi ujian, kita berdoa, terus baik, maka tujuan Allah beri ujian tidak tercapai. Jika sakit sebagai ujian, berdoa, terus baik, maka dimana ujianny? Hakikatnya ujian Allah menguji keimanan,  kesabaran, rasa bersyukur. Maka bila diuji dengan kepayahan seperti penyakit, ambil iktibar dulu untuk membina kesabaran, keimanan, rasa bersyukur atas nikmat sebelum ini dan redha, itulah yang lebih baik dari segera memohon disembuhkan kerana inilah tujuan Allah menguji kita. Jangan menggelupur, menggelabah, menjaja seluruh dunia, minta tolong, minta derma bagai nak rak, ketika sedikit diberi ujian.

Seperkara lagi, bila Allah memberi ujian, sebaiknya kita tidak mengajar Allah atau menentukan bagaimana Allah kena buat untuk kita, dalam berdoa. Bila diuji dengan sakit, sebaiknya kita tidak meminta disembuhkan, seperti contoh nabi Ayyub merayu kepada Allah. Dan Nabi Ayub, telah berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani ”(Al Anbiya 83). Nabi Ayyub tidak mohon kesembuhan, tidak minta supaya Allah buat buat itu ini kepadanya tetapi Nabi Ayyub hanya memuji Allah dengan sifat kasih sayangNya. Janganlah tentukan apa yang Allah kena buat untuk kita dalam berdoa tetapi, sebutlah dengan sifat Allah yang menjurus kepada permintaan kita. Bila meminta rezeki mohonlah dengan sifat pemberi rezeki, bila dizalimi, mohonlah dengan sifat yang maha Adil, bila mohon keselamatan, mohonlah dengan sifat maha Melindungi. Bukankah itu lebih beradab dalam meminta pertolongan, dari mengajar Allah suruh buat begini, buat begitu, beri ini, beri itu.

Iktibar lain dari peristiwa nabi Ayyub ini ialah betapa kita kena bersyukur atas nikmat terdahulu yang Allah beri sebelum terus meminta-minta. Jika nabi Ayyub merasa malu dengan Allah untuk terus meminta, kita sepatutnya juga kena merasa malu untuk terus meminta terutama kepada perkara kenikmatan hidup. Bila diberi pekerjaan, posting ke tempat yang jauh, bersyukurlah dapat kerja, Allah dah tentukan rezeki kita disitu, redhalah dan sesuaikanlah diri. Janganlah meronta, kerabat tangga jabatan, kementerian sana sini, jumpa menteri, dato' nak bertukar balik ke pejabat depan rumah. Terima hakikat, ini ketentuan Allah. Mohonlah Allah beri kekuatan, mudahkan, mungkin setahun dua, Allah akan ubah. Istiqamahlah dulu pada apa yang Allah tentukan. Berapa ramai yang tak dapat kerja walau ada degree. Malulah kepada Allah untuk terus tidak berpuas hati dengan takdirNya.

Kita dok minta umur panjang, tak rasa malukah kepada Allah dengan umur yang telah dilalui ini, banyak mana kebajikan telah dibuat. Kita selalu minta tambah rezeki, tidak malukah berapa banyak yang Allah telah beri, ratus ribu, mungkin juta, berapa banyak yang jadi kebajikan, jadi sedekah jariah berbanding yang jadi najis yang keluar dari perut. Kita selalu minta sihat berpanjangan, tak terasa malukah, Allah telah beri sihat begitu lama, tetapi ibadat ciput, kita selalu minta kejayaan, entah berapa banyak sijil, diploma, ijazah yang Allah beri, tetapi berapa banyak pula persiapan untuk berjaya di akhirat yang kita buat. Dae thambi, aci, amma, anne, ayya, malulah sama Allah.

Mintalah keteguhan iman, ketakwaan, ditambah ilmu dan kekuatan untuk beribadat berterusan tanpa rasa malu, melebihi permintaan untuk hidup. Saya nak mengajak anda merenung apa yang saya titipkan ini ditahap sedikit lebih tinggi dari platform biasa, nak ajak anda mengangkat sedikit darjat keimanan untuk menjadi insan yang merasa malu dengan tuhannya, dengan apa yang dianugerahkanNya, lalu kita menjadi hamba yang bersyukur dan sangat bersyukur. Tidak sia-sialah Allah menceritakan kisah nabi Ayyub, melainkan untuk menjadi teladan kepada mereka yang mahu berfikir.

Wallahu'alam 

No comments:

Post a Comment

Sekolah yang berminat boleh hubungi kami seperti nombor tertera...